Connect with us

Semasa

Kerajaan Bercadang Melonggarkan SOP Jika Proses Dos Penggalak Selesai – PM

Walaupun kerajaan sudah membenarkan rakyat merentas negeri untuk pergi bercuti meluangkan masa bersama keluarga mahupun rakan-rakan, tidak membawa maksud prosedur operasi standard (SOP) perlu diketepikan.

Namun, setelah masuknya vaksin dan dos penggalak ke negara ini, pihak kerajaan bercadang untuk melonggarkan SOP, demi memudahkan pelancong di dalam negara mahupun luar lebih senang untuk bergerak.

Kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan lagi (SOP) sekiranya proses vaksinasi COVID-19 termasuk dos penggalak di negara ini  selesai.

Menurut laporan yang dibuat Bernama, ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini, beliau berkata perkara tersebut bagaimanapun bergantung kepada keputusan dan pendapat daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kita lihat kalau dua dos vaksin COVID-19 dan booster (penggalak) selesai, saya percaya kita boleh berikan sedikit lagi kelonggaran dan ini terpulang kepada KKM untuk berikan pandangan, “ katanya.

Ismail Sabri turut menjelaskan andai SOP terlalu ketat, ia memberi impak buruk kepada industri pelancongan negara.

Beliau juga menambah walaupun pelancongan domestik telah dibuka, pelancong antarabangsa masih tidak dibenarkan masuk ke negara dan subsidi upah yang diperkenalkan masih diberikan kepada pemain industri pelancongan.

Menurut beliau lagi, selepas melihat perkembangan negara-negara lain,  SOP di negara mereka telah pun dilonggarkan untuk menyenangkan pelancong ke negara mereka dan perkara itu mungkin boleh dipertimbangkan.

“Sebab itulah kita ingat kalau rakyat kita telah diberikan booster, kita boleh relaks sikit dari segi SOP,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan masih lagi berhati-hati dalam membuka sempadan negara kerana khuatir akan jangkitan COVID-19.

Tambahnya lagi, walaupun Laluan Perjalanan Vaksinasi Lengkap Vaksin (VTL) Malaysia dan Singapura telah dilaksanakan serta perbincangan VTL dengan Indonesia dan Thailand telah dimulakan, namun peningkatan bilangan kes COVID-19 yang semakin membimbangkan di luar negara menyebabkan Malaysia masih menggantung pergerakan ke luar negara.

Beliau berkata pembukaan industri pelancongan antarabangsa akan dapat menjana ekonomi seterusnya menjadikan keadaan negara kembali pulih.

Selain itu, Ismail Sabri mengulangi bahawa kerajaan tidak bertujuan untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) lagi untuk menyekat pergerakan rakyat dan sektor perniagaan.

“Ada khabar angin yang apabila raya nanti tidak boleh balik kampung dan perniagaan ditutup, saya telah umumkan raya boleh balik kampung dan sambutannya begitu tinggi,” katanya.

Semasa di Bera, Pahang pada Ahad lalu, Ismail Sabri memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan semula PKP dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Hari Raya Aidilftri tahun ini.

Namun jika kes meningkat di sesuatu kawasan, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan di kawasan terlibat sahaja.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.