Connect with us

Informasi

Kenaikan Kos Bahan Bihaan Antara Punca Pemaju Mula Naikkan Harga Rumah

Pandemik Covid-19 jelas memberi kesan terhadap ekonomi negara. Banyak projek tergendala dan tidak dapat disiapkan akibat wabak berkenaan.

Perkara ini termasuklah pembinaan rumah. Pemaju sedikit sebanyak terpaksa menanggung kerugian selain banyak projek tidak dapat diteruskan.

Harga tinggi yang dikenakan pada bahan binaan sejak tahun lalu menyebabkan ada pemaju terpaksa menunda pelancaran projek baharu kerana sudah tidak mampu menanggung kos kenaikan itu sehingga terpaksa memindah beban tersebut kepada pengguna dengan menaikkan harga jualan rumah.

Memetik dari laporan Berita Harian, Pengarah Penyelidikan Rahim & Co, Sr Suleiman Saheh berkata, inisiatif menaikkan harga rumah tidak mampu menyelesaikan sebarang masalah malah hanya menyebabkan projek baharu akan lebih sukar untuk dijual kerana sudah berada di luar kemampuan pembeli.

Oleh itu, katanya ada pemaju membuat keputusan untuk menunda dahulu pelancaran projek ke tarikh lain yang dilihat sesuai seperti ketika harga bahan binaan sudah turun atau sentimen bertambah baik.

“Bagaimanapun, perkara ini bergantung kepada keadaan dan lokasi. Ada sesetengah lokasi penduduknya masih mampu, maka pemaju akan meneruskan rancangan pelancaran mereka.

“Namun, bagi projek perumahan mampu milik, pemaju mungkin akan menangguhkannya kerana jika mereka menaikkan harga, dikhuatiri harganya sudah tidak mampu milik dan menyebabkan ramai tidak boleh membelinya,” katanya hari ini ketika ditemui selepas majlis taklimat liputan pasaran hartanah Malaysia dan tinjauan prospek 2022 oleh Rahim & Co di Kuala Lumpur.

Majlis tersebut juga turut dihadiri Pengerusi Eksekutif Rahim & Co, Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Harta Tanah Rahim & Co, Siva Shanker.

Mengulas lebih lanjut mengenai prestasi pasaran hartanah pada 2021, Suleiman berkata, secara ringkasnya, pemulihan yang dijangka dan diharapkan tahun lalu diganggu dengan kenaikan semula bilangan kes COVID-19.

“Walaupun prestasi enam bulan pertama telah meningkat dengan ketara, prestasi suku ketiga yang menurun menyebabkan pertumbuhan semula terbantut.

“Ini secara keseluruhannya menghasilkan paras transaksi sembilan bulan pertama yang kurang rancak dan di bawah jangkaan. Pemulihan pasaran hartanah ke tahap sebelum COVID-19 akan memerlukan lebih masa.

“Di samping itu, langkah-langkah rangsangan ekonomi oleh kerajaan adalah penting dan memainkan peranan dalam memastikan kestabilan pasaran hartanah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, pasaran hartanah dijangka menuju ke arah pemulihan yang perlahan pada tahun ini, selain turut bergantung kepada harapan bahawa tiada lagi penularan varian baharu COVID-19 yang menyebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, dengan pencapaian liputan vaksinasi yang lebih tinggi, sokongan kerajaan yang berterusan, pelaksanaan dasar yang akomodatif dan pembukaan berperingkat sempadan antarabangsa.

“Pengurusan berkesan berterusan bagi situasi COVID-19 adalah penting untuk mematikan pasaran kembali ke landasan ke arah pemulihan pasaran hartanah yang mampan,” katanya.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.