Connect with us

Politik

Keluar Kenyataan Nafi Najib Akan Dirujuk Di IJN, Ini Penjelasan Khairy Jamaluddin

Umumnya, bekas Perdana Menteri Najib Razak telah mengalami masalah kesihatan yang agak teruk. Susulan itu, banyak media telah melaporkan bahawa kemungkinan besar Najib akan dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN) dan beliau juga telah memohon agar perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB pada hari semalam ditangguhkan.

Namun begitu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan bahawa Najib akan dirujuk ke IJN bagi mendapatkan rawatan.

Menerusi laporan Astro Awani, Khairy menyatakan bahawa setiap banduan perlu menjalani rawatan di hospital kerajaan berdasarkan prosedur yang telah ditetapkan.

Jelas Khairy, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah telah memutuskan bahawa Najib akan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan kes Najib Razak ini.

“Prosedur banduan adalah dirujuk ke hospital kerajaan dan bagi kes Najib, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memutuskan beliau dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” terang Khairy.

Khairy mengeluarkan kenyataan sedemikian disebabkan untuk mengulas mengenai laporan media mengenai Najib yang juga Ahli Parlimen Pekang yang kini menjalani hukuman penjara akan dirujuk ke IJN selepas dimasukkan ke HKL pada Isnin.

Sebelumnya, peguam Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah memaklumkan bahawa Najib Razak berkemungkinan bakal dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) pada hari ini.

Berdasarkan kenyataan Muhammad Shafee, tekanan darah bekas Perdana Menteri itu dilaporkan tidak menentu selain puncanya masih belum diketahui.

“Najib akan menjalani beberapa ujian kesihatan dan keputusan pemeriksaan itu akan diketahui beberapa hari lagi,” ulas Muhammad Shafee.

Difahamkan, beberapa ujian kesihatan itu akan menentukan punca keadaan anak guamnya dan mungkin dirujuk ke IJN.

Walau bagaimanapun, Muhammad Shafee tidak boleh mendapat arahan lanjut daripada Ahli Parlimen Pekan itu disebabkan peguam tidak dibenarkan melawat beliau di wad HKL.

Sekadar info, permohonan bagi penangguhan perbicaraan kes penyelewengan dana 1MDB yang dihadapi oleh Najib itu tidak mendapat bantahan daripada pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam.

Manakala, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan prosiding kepada petang hari ini untuk mendapatkan perkembangan lanjut mengenai keadaan Najib Razak.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.