Connect with us

Semasa

Kelah Merah Bawa Tuah Kepada Nelayan

Kerosakan pada rumah mangsa banjir yang dimusnahkan oleh air banjir sememangnya memerlukan kos baik pulih yang tinggi. Namun tidak semua mempunyai sejumlah wang yang mencukupi untuk mengganti semula harta yang rosak kepada yang asal.

Secara tidak langsung, cuaca yang kurang menentu ini menyukarkan para nelayan menangkap ikan di laut mahupun sungai. Golongan ini terpaksa bergantung nasib pada cuaca untuk mencari rezeki agar dapat menyara kehidupan selepas banjir.

Di Lipis Pahang, Abd Hadi Sulaiman, 47 iaitu seorang nelayan Sungai Tanum di Kampung Chegar Perah menzahirkan rasa teruja setelah dapat menangkap seekor ikan kelah merah atau nama saintifiknya, Tor putitora.

Ikan ini adalah antara satu-satunya spesies liar di sungai yang paling mahal di pasaran.

Selepas rumahnya dilimpahi dengan air Sungai Tanum, Hadi mengaku selain kejadian banjir yang melanda ini memeritkan dirinya namun ada juga tuah di sebalik pahit yang ditanggung.

Jelas Hadi, apabila air sungai surut pada dua hari yang lalu, dia memasang jaring dengan harapan beroleh tuah untuk mendapat ikan liar.
Setelah dicongak-congak, dia mampu untuk menampung pendapatan dirinya selepas banjir jika dapat menangkap ikan sungai.

“Semalam pada 6.30 patang, saya turun memasang jaring di sungai Tanum berdekatan rumah sambil berdoa serta mengharap ada rezeki ikan liar terperangkap dalam jaring ini.”

“Apabila turun ke sungai ini pada 7 pagi tadi untuk melihat jaring yang dipasang ternampak jaring bergoyang dengan kuat seolah-olah seekor ikan besar tersangkut di samping menggelepar sehingga air berkocak di permukaan sungai,” kata Hadi.

Allah Maha Adil. Setiap kesulitan pasti ada kesenangan. Buat pertama kali dalam 20 tahun hidup sebagai nelayan, dia berhasil menangkap ikan sungai liar. Hadi terkejut selepas menarik jaring ke atas, dia ternampak ikan kelah merah bersaiz besar yang tidak pernah ditangkap sejak dia bekerja sebagai nelayan Sungai Tanum.

“Saya menarik jaring perlahan-lahan ke atas bot gentian kaca bimbang sekiranya rezeki ikan kelah ini yang kuat menggelepar ini terlepas ke sungai semula.

“Apabila sudah naik ke darat dan dibawa pulang ke rumah, saya terus menimbang ikan ini seberat 12.4 kilogram menyebabkan saya terpegun seketika sambil membayangkan jumlah pendapatan hari ini,” katanya.

Hadi memberitahu sebab ikan kelah merah sukar ditangkap adalah kerana berada di hulu sungai dan mungkin ia dihanyutkan oleh arus deras.

Bersyukur doanya dimakbulkan, dengan hasil jualan ikan sungai liar tersebut Hadi berkata dia berjaya mengaut keuntungan sebanyak dianggarkan RM3,100 berasaskan harga sekilogram ikan kelah merah di pasaran hari ini iaitu RM250 sekilogram.

“Oleh kerana saya sangat perlukan wang selepas musibah banjir untuk perbelanjaan peralatan rumah yang rosak, keperluan dapur dan persiapan persekolahan tahun depan, ikan ini dijual terus kepada pengusaha restoran di bandar Kuala Lipis dengan nilai tersebut.

“Saya bersyukur memperoleh rezeki ini dan bercadang untuk memasang jaring ini semula di tempat yang sama pada petang ini sambil berharap ada lagi ikan kelah merah atau spesies liar lain tersangkut pada jaring untuk juadah keluarga pula,” kata Hadi lagi.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.