Connect with us

Semasa

Kejohanan Dunia FINA ke-19 Budapest, Pandelela Rinong & Nur Dhabitah Sabri Raih Pingat Gangsa 10m Platform Seirama Wanita

Dato’ Pandelela Rinong anak Pamg ialah seorang atlet Malaysia bagi acara terjun. Beliau menjadi wanita pertama Malaysia pembawa bendera di Upacara Pembukaan Sukan Olimpik Musim Panas 2012 di London dan mencatat sejarah sebagai atlet wanita Malaysia pertama memenangi pingat Olimpik (pingat gangsa) iaitu dalam acara terjunan 10 meter platform wanita, dan atlet Malaysia kedua memenangi pingat Olimpik 2012 di London. 

Manakala Nur Dhabitah binti Sabri yang juga atlet penerjun Malaysia telah mendapat pingat gangsa di acara sukan terjun di Sukan Komanwel 2014 dalam acara wanita 10 meter platform segerak dengan Pandelela.

Kedua-dua atlet ini sering mengharumkan nama negara malah menjadi harapan buat rakyat Malaysia dalam acara sukan yang mereka berdua ceburi.

Gandingan terjun wanita Dato’ Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri menambah pungutan pingat kem terjun negara apabila memenangi pingat gangsa dalam acara terjun seirama 10 meter wanita lewat malam tadi pada Kejohanan Dunia 2022.

Gandingan Pandelela-Dhabitah di Arena Duna di Budapest, Hungary berjaya mengumpul 298.68 mata selepas mencatatkan lima lompatan.

Pingat emas milik penerjun dari China menerusi pasangan Juara Olimpik dan Dunia Quan Hongchan dan rakannya Chen Yuxi, yang mengumpul 368.40 mata. Pingat perak pula menjadi milik penerjun AS Delaney Schnell-Katrina Young dengan 299.40 mata.

Kem terjun negara memulakan kempen Kejohanan Dunia pada hari Selasa dengan Pandelela memenangi pingat gangsa dalam acara 10m platform wanita.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.