Connect with us

Semasa

Tanah Mendap di Bandar Putra Permai Rupanya Kejadian Kali Kedua di Tempat Sama

Kejadian seperti tanah mendap bukanlah fenomena asing lagi bagi negara ini. Tanah mendap sering berlaku atas beberapa faktor.

Ada yang disebabkan kerana hujan lebat. Selain itu, kenderaan berat yang sering lalu-lalang di kawasan tersebut juga boleh menjadi penyumbang kepada kejadian tersebut.

Kejadian tanah mendap yang berlaku di Jalan LP1A/2 Lestari Perdana, Bandar Putra Permai di sini petang Selasa merupakan kejadian kali kedua berlaku di sekitar kawasan berkenaan.

Menurut laporan yang dibuat Astro Awani, Datuk Johary Anuar iaitu Pegawai Daerah Petaling berkata, kejadian berikut pernah berlaku sebelum ini pada tahun 2017 di tempat yang sama.

“Ini merupakan kejadian kali kedua yang berlaku di kawasan ini membabitkan tanah mendap dan pihak kami memandang serius perkara tersebut. Kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Laporan lengkap mengenainya akan disiapkan sebaik sahaja kajian mengenai kejadian ini dapat dilakukan sepenuhnya,” katanya kepada media.

Sementara itu, beliau berkata kini kerja-kerja memasang cerucuk di sekitar kawasan yang mendap itu sedang giat dijalankan sejak semalam.

Inisiatif tersebut diambil demi memastikan pergerakan bawah tanah dapat dikurangkan bagi menghindarkan kawasan terbabit terus mendap.

Kerja-kerja membaik pulih kawasan tersebut diramalkan akan mengambil kira-kira tempoh seminggu untuk disiapkan.

Selain itu, penghuni yang tinggal di 17 premis di sekitar kawasan tanah mendap itu telah diarahkan berpindah atas faktor keselamatan.

Menurut ACP A Ambalangan, Ketua Polis Daerah Serdang dalam satu kenyataan hari ini, kesemua penduduk hanya akan dibenarkan pulang sehingga pihaknya dapat memastikan keadaan benar-benar selamat.

“Penghuni di 17 premis di kawasan sekitar tanah mendap yang berlaku membabitkan sekitar 150 meter telah diarah berpindah.

“Pagi ini kami mendapati masih berlaku kejadian tanah mendap, jadi kami telah mengambil langkah berjaga-jaga dan memaklumkan kepada pemilik premis untuk berpindah sehingga hami dapat pastikan keadaan telah kembali selamat,” katanya.

Kejadian yang berlaku di Seri Kembangan semalam turut memusnahkan beberapa kenderaan yang diletakan di kawasan tersebut akibat tanah mendap.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.