Connect with us

Semasa

JPA Kaji Pelaksanaan 4 Hari Seminggu Bekerja Untuk Penjawat Awam

Setelah United Kingdom dan beberapa negara Eropah yang lain mula mencadangkan idea untuk bekerja selama empat hari seminggu, Malaysia turut menjejaki langkah yang sama.

Dalam pada negara luar sedang menjalankan proses pemantauan atas kesan kepada pekerja yang bekerja selama empat hari itu, negara ini giat mengkaji pelaksaan waktu kerja empat hari seminggu untuk penjawat awam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menubuhkan pasukan khas yang akan menyelidik pelaksanaan waktu bekerja empat hari seminggu.

Beliau berkata langkah itu diambil kerana ada pihak yang menggesa kerajaan menyiasat perkara itu dengan lebih dekat.

“Jadi kita telah tubuhkan satu pasukan khas untuk melihat bagi pihak kerajaan berhubung sektor mana serta jumlah waktu minimum dan maksimum bekerja selaras dengan Akta Pekerja 1955 sebelum sebarang keputusan diambil,” katanya selepas melancarkan Modul Integriti Penguat Kuasa (MIP) di Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini, hari ini.

Mohd Shafiq seterusnya mengulas: Bagi melaksanakan masa bekerja empat hari seminggu, banyak yang perlu dibangunkan lagi, kerana selain bilangan hari bekerja dan tempoh rehat yang perlu disemak, bidang kerja sekarang juga pelbagai. .

“Dahulu beberapa negara di Eropah juga pernah melaksanakan cuti empat hari seminggu ini tetapi mengikut bidang kerja yang tertentu sahaja,” katanya sambil menegaskan kajian itu tidak akan mengambil masa yang lama.

Isu ini mula mendapat perhatian umum apabila, awal bulan ini, 70 syarikat yang menggaji 3,000 orang di UK memperkenalkan sistem di mana mereka bekerja empat hari seminggu dan masih mendapat gaji penuh selama sebulan.

Berhubung MIP, Mohd Shafiq berkata ia merupakan inisiatif untuk menambah baik kefahaman, penghayatan dan pembudayaan pegawai penguat kuasa di negara ini berkaitan integriti.

“Ia juga menjadi medium penyumbang dalam memantapkan penerapan dan pengamalan nilai-nilai murni integriti dan tadbir urus yang baik dalam jentera pentadbiran kerajaan,” katanya.

MIP yang dilancarkan hari ini merangkumi tiga sub modul iaitu Integriti Cerminan Diri dan Organisasi; Membetulkan Yang Biasa, Membiasakan Yang Betul; dan Menginstitusikan Integriti.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif IIM, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali turut hadir pada majlis pelancaran.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.