Connect with us

Semasa

Israel Bakal Jadi Perintis Dos Keempat

Setelah dua tahun hidup dalam norma baru akibat wabak pandemik, seluruh negara telah mengambil inisiatif untuk memberi suntikan vaksin kepada rakyatnya demi menjaga kesihatan dan keselamatan semua.

Kebanyakan negara sudah pun menerima dos penggalak bagi meningkatkan lagi tahap imuniti badan melawan jangkitan C19 termasuklah negara Malaysia.

Berbeza dengan negara Israel, pada hari Isnin lepas sebuah hospital di negara tersebut telah pun melancarkan ujian klinikal mengenai kesan suntikan keempat vaksin Pfizer-BioNTech.

Menurut sumber Harian Metro, pusat Perubatan Sheba menjalankan kajian tersebut dengan melibatkan seramai 150 sukarelawan daripada kakitangan hospital yang sudah empat bulan menerima suntikan vaksin ketiga dan menampakkan tanda antibodi yang semakin menurun.

Gili Regev-Ychay iaitu Pengarah Unit Epidemiologi Penyakit Berjangkit di Sheba berkata potensi rangsangan antibodi daripada suntikan keempat, kewujudan kesan buruk dan mengenal pasti sama ada dos penggalak tambahan mengurangkan risiko jangkitan akan dinilai menerusi kajian ini.

Dikatakan peserta akan dipantau sepanjang tempoh enam bulan.

Gal Rotem Golan yang juga menggalas jawatan sebagai jurucakap kementerian kesihatan Israel menjelaskan percubaan untuk menyemak keberkesanan suntikan keempat telah diluluskan oleh pihak kementerian.

Pelancaran kajian itu dibuat ketika Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Nachman Ash mempertimbangkan cadangan panel pakar Israel untuk memberi kebenaran menyuntik vaksin keempat kepada kakitangan perubatan dan golongan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.

Perdana Menteri negara tersebut, Naftali Bennett menjelaskan Israel adalah negara yang pertama di dunia menawarkan dos ketiga kepada masyarakat umum dan seterusnya bakal menjadi perintis bagi dos keempat.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.