Connect with us

Semasa

Harga Ikan Kembung Naik RM12 Sekilo, Cuaca Tidak Menentu Menjadi Punca Utama

Seperti yang kita tahu, musim tengkujuh sering berlaku setiap penghujung tahun di Malaysia. Ekoran hal itu, tangkapan laut seperti ikan sukar diperoleh akibat cuaca yang tidak menentu.

Iospital phone repair gombak

Memetik laporan Harian Metro, harga pasaran ikan kembung di Alor Setar, Kedah telah melonjak naik sebanyak RM 12 untuk sekilo ikan tersebut.

Difahamkan, kenaikan harga tersebut disebabkan kekurangan hasil tangkapan selain cuaca yang tidak menentu.

Didapati peniaga terpaksa menjual hasil tangkapan yang diperolehi mereka walaupun hanya sedikit, berdasarkan pemantauan yang dibuat di pelantar Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah.

Peniaga, Khatijah Md Shah, 44, menyatakan bahawa harga ikan kembung yang dijual bergantung pada saiznya dan saiz yang paling mahal dijual dengan harga RM 12 sekilo, di mana kira-kira sekitar 20 ekor sahaja.

Menurutnya, hasil tangkapan sebelum ini mampu mencecah sehingga satu tan jikalau ikan banyak.

Akan tetapi dengan keadaan yang melanda mereka sekarang ini, dia hanya mampu menjual ikan sebanyak 30 kg sahaja sehari.

“Namun harga jualan ikan di pelantar ini sering berubah setiap hari dan jika tangkapan terlalu sikit, ia dijual dengan harga mahal untuk menampung penggunaan minyak dan upah nelayan.

“Ikan di pelantar ini dijual secara terus oleh nelayan dengan harga murah berbanding jualan di pasar basah yang agak mahal dan sebelum ini, harga ikan kembung hanya RM5 hingga RM6 sekilo bergantung pada saiz sebelum ia naik mendadak sehingga mencecah RM12 sekilo,” terangnya.

Katanya, harga tangkapan selain ikan kembung turut meningkat disebabkan oleh hasil tangkapan berkurangan.

Dikatakan, kenaikan harga itu tidak dapat dielakkan kerana ramai nelayan yang tidak dapat turun ke laut akibat faktor cuaca kini.

Walau bagaimanapun, fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku awal pagi esok dan lusa tidak menjejaskan nelayan untuk turun ke laut kerana fenomena itu diramalkan berlaku sekitar jam 1 atau 2 pagi.

“Nelayan biasanya turun sekitar 5 hingga 6 pagi setiap hari dan apabila tangkapan sedikit, mungkin akan menyebabkan hasil jualan ikan cepat habis,” tambahnya lagi.

Nelayan, Abdul Hamid Ismail, 40, menjelaskan bahawa selain ikan berkurangan, keadaan ombak yang beralun di tengah laut juga menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan hasil tangkapan yang banyak.

Jelasnya, dia dan rakannya segera naik ke darat setiap petang apabila angin kuat atau cuaca bertukar gelap kerana bimbang jikalau berlaku kejadian ribut di tengah laut.

“Kadang dapat ikan sampai 30 hingga 40 kg tetapi ada kalanya tak dapat langsung kalau cuaca hujan,” ulasnya.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.