Connect with us

Semasa

Geng Konvoi Ditahan Polis Trafik

Berkonvoi pada hari-hari tertentu sudah menjadi kebiasaan masyarakat Malaysia. Dengan hampirnya pengahkhiran tahun 2021, sudah pasti banyak rancangan yang berlegar-legar di dalam kepala. Salah satunya adalah keluar bersama rakan-rakan.

Tambahan pula dengan sempadan yang telah dibuka, ramai yang bercadang untuk merentas negeri bagi menyambut tahun baru.

Dilaporkan hasrat satu geng konvoi untuk menyertai konvoi bermotosikal sempena menjelang tahun baharu terbantut gara-gara disaman oleh pihak berkuasa.

Menurut sumber Astro Awani, penunggang motosikal terbabit ditahan kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan dalam satu operasi yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Khamis lalu.

Asisten Komisioner Shariman Ashari, iaitu Ketua Polis Daerah Langkawi memberitahu media sebanyak 473 saman telah dikeluarkan oleh pihaknya ke atas penunggang motosikal yang terlibat ketika mereka tiba di Dermaga Tanjung Lembung.

Sementara itu, Shariman memberitahu lagi berdasarkan rekod yang dibuat, didapati keseluruhannya sebanyak 1,200 motosikal telah diperiksa oleh anggota PDRM dan JPJ dalam operasi yang dijalankan.

“Mereka tiba menerusi tiga perkhidmatan feri penumpang dan kenderaan dari Kuala Perlis di Jeti Tanjung Lembung di sini iaitu pada 5 petang, diikuti jam 9 dan 11 malam tadi.”

“Hasil pemeriksaan, sebanyak 473 motosikal disaman PDRM membabitkan 606 pelbagai kesalahan trafik dengan majoriti tiada nombor pendaftaran dan cermin sisi,” jelasnya semasa dihubungi pihak media.

Shariman memberitahu JPJ turut mengeluarkan 104 notis atas pelbagai kesalahan dan menyita sebuah motosikal dalam operasi yang sama.

“Rata-rata penunggang terbabit dilaporkan datang dari Lembah Klang, Terengganu, Kelantan dan Johor.”

“Sebuah motosikal bukan sahaja tiada nombor pendaftaran, malah digantikan dengan tulisan ‘Langkawi Attack #JB_MARI’,” jelasnya lagi.

Ekoran daripada itu, kesemua penunggang telah diberi amaran supaya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya yang ditetapkan sepanjang berada di pulau ini.

Bermula awal malam tadi, tular beberapa buah video yang memaparkan kegirangan sekumpulan penunggang motosikal yang berkonvoi dipercayai untuk menyambut tahun baharu di pulau ini terbantut selepas mereka ditahan oleh pihak polis trafik untuk menjalani pemeriksaan sebaik tiba di Dermaga Tanjung Lembung.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.