Connect with us

Semasa

Gejala Rasuah Punca Rakyat Tidak Dapat Perkhidmatan Sepatutnya, Ini Titah Sultan Perak Nazrin Shah

Kes jenayah rasuah ini bukanlah suatu perkara yang boleh diambil ringan. Hal ini disebabkan kes rasuah mampu merosakkan imej negara, meruntuhkan sosial dan ekonomi sesebuah negara.

Berdasarkan laporan Harian Metro, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah gejala rasuah ini menjadi salah satu punca rakyat tidak mendapat perkhidmatan, pengagihan kekayaan tidak seimbang dan ketirisan khazanah negara.

Menurut baginda, rasuah turut akan menyebabkan pembangunan tidak lestari, pencemaran alam sekitar, membantutkan pertumbuhan ekonomi, menghilangkan minat pelabur asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga serta mendorong berlakunya ketidakstabilan politik.

“Banyak negara dianugerahi rahmat Ilahi dengan pelbagai sumber kekayaan, tetapi kerana rasuah ada yang terbenam dalam kemelut kemunduran dan tertimbus dalam lumpur kemiskinan. Kekayaan negara disalah guna – hasil mahsul lesap.

“Akibatnya, kemunduran terus melanda, kemiskinan terus merebak. Apabila tidak ada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar… lalu diterima sebagai norma dan meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa,” titah baginda berhubung dengan isu rasuah itu.

Difahamkan, Sultan Nazrin bertitah kenyataan sedemikian pada majlis pelancaran buku ‘Korupsi dan Kemunafikan dalam Politik Melayu; Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika’ hasil tulisan Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan.

Baginda juga bertitah bahawa rasuah ialah penyakit dalam masyarakat yang bersifat barah, yang menjalar sedikit demi sedikit, merosakkan satu persatu organ organisasi sehingga akhirnya melumpuhkan organisasi dan membawa maut.

Malah, jika dibiarkan ianya akan terus merebak tanpa disegerakan rawatan kemoterapi.

Dikatakan, daripada 180 negara yang dinilai oleh Transparency International, Malaysia jatuh di tempat yang ke-57 dengan skor 52 pada tahun 2020, manakala berada di kedudukan ke-62 dengan mencatat skor 48 pada tahun lepas.

Kini, Malaysia dikelompokkan dalam kumpulan dua pertiga negara yang mencapai skor di bawah 50.

“Oleh yang demikian, kita tidak boleh memandang ringan, bersifat leka, memilih melakukan penafian, memikirkan segala justifikasi – bersilat dengan segala helah mahu menidakkan kewujudan ‘gajah’ rasuah di hadapan mata,” titah baginda.

Jelas sekali bahawa skala gejala rasuah di Malaysia pada tahap yang membahayakan berdasarkan teguran berulang kali yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara dan pelbagai penemuan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

“Bilangan aduan serta rungutan yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, subjek yang terkandung dalam surat layang, berita yang terpapar dalam media dan isu yang diuar-uarkan dalam media sosial, hendaklah dijadikan cermin serta dianggap petunjuk kepada situasi rasuah yang berlaku.

“Malah, jalan raya berlopak, longkang tersumbat, bangunan runtuh, bumbung bocor, pencemaran alam, penerokaan haram, rumput dan taman yang tidak terurus, masing-masing mempunyai bahasa tersendiri, menyampaikan mesej akan standard tadbir urus yang sedang berlaku,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, hari ini lebih ramai manusia yang disesatkan dengan kuasa dan kekayaan tanpa sedar dan malu akan kebarangkalian tergelincir melakukan perbuatan berunsur syirik.

Hal ini demikian kerana mereka sanggup mengabdikan diri menjadi hamba kepada wang, kuasa, pangkat dan jawatan sehingga mendewakan manusia lain.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.