Connect with us

Viral

Gara-Gara Enggan Alihkan Kereta, Penunggang Motosikal Tumbuk Pemandu Di Tengah Jalan

Apabila berada di atas jalan raya, terpaksalah hadap dengan macam-macam kerenah pemandu. Ada yang mementingkan diri sendiri sehingga menyusahkan orang lain. Belum termasuk dengan ‘samseng jalanan’. Akibatnya terpaksa meminta bantuan polis!

Sudahlah menyusahkan, kadang-kadang menjadi punca kesesakan lalu lintas. Selain itu, sikap penting diri dan cuai juga boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Hari ini (15 Jun 2022), IPD Shah Alam mengeluarkan kenyataan di Facebook Polis (IPD) Shah Alam berlakunya pergaduhan antara penunggang motosikal dengan seorang pemandu kereta berjenis Naza Ria di Persiaran Kerjaya Glenmarie Seksyen U1 Shah Alam.

Polis Daerah Shah Alam mengesahkan bahawa video tular yang memaparkan keengganan pemandu mengetepikan keretanya menjadi punca pergaduhan melibatkan penunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata penunggang motosikal berusia 31 tahun itu telah membuat laporan polis pada 13 Jun lalu ekoran insiden tersebut.

Hasil siasatan mendapati bahawa berlakunya pertengkaran mulut apabila suspek seorang lelaki Melayu berusia 29 tahun enggan mengetepikan keretanya ketika di Persiaran Kerjaya menyebabkan motosikal mangsa dan penunggang motosikal yang lain terhalang dari meneruskan perjalanan.

“Pertengkaran mulut yang berlaku disusuli dengan pergaduhan yang akhirnya dileraikan oleh orang ramai.

“Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk selesaikan secara baik dan pengadu hanya buat covering report sahaja,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar.

Katanya lagi, kedua-dua pihak iaitu pengadu dan suspek telah dipanggil untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan penjara selama tempoh yang boleh sampai setahun atau dengan denda yang boleh sampai RM2000 atau kedua-duanya,” katanya.

Sementara itu, pengadu dikatakan telah membuat laporan polis untuk menarik semula laporan polis yang dibuat sebelum ini. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.