Semasa
Dua Beradik Ditipu ‘Ejen Pekerjaan’, Terkandas Jadi Gelandangan Di Kota London

Sudah ramai anak muda di negara kita berhijrah ke luar negara demi mendapatkan pekerjaan yang lebih baik demi menampung kehidupan pada masa akan datang. Bagaimanapun, masih ada individu yang mengambil kesempatan terhadap anak-anak muda ini dengan menipu mereka.
Begitu juga dengan kisah dua lelaki warga tempatan pada asalnya hajat bekerja di kota London kini bertukar menjadi memori pahit apabila terpaksa menjadi gelandangan di negara tersebut.
Menerusi laporan Harian Metro, salah seorang lelaki itu yang dikenali sebagai Mohamad Araz (bukan nama sebenar), 23 menyatakan bahawa dia tidak sangka niatnya untuk bekerja di London bersama abangnya Mohamad Aiman (nama samaran), 30 akhirnya ditimpa musibah.
“Ujian yang paling perit yang kami tidak dapat dilupakan adalah terpaksa mengutip sisa makanan ditinggalkan orang ramai bagi mengisi perut di kota London,” kata Araz.
Difahamkan, dia berasa sangat teruja untuk bekerja di London selepas melihat paparan video dan gambar seorang lelaki di laman TikTok.
Jelasnya, dia dan abangnya terus menghubungi nombor telefon yang dikongsikan oleh salah seorang lelaki di ruangan komen akaun TikTok lelaki tersebut.
“Kami menghubungi seorang lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ejen pekerjaan di London dan dia juga sanggup bertemu kami di Kuantan, Pahang, bagi membincangkan prosedur ke London.
“Kami dijanjikan pekerjaan, visa, tempat tinggal, wang poket dan tiket penerbangan dua hala selain lelaki berkenaan juga meminta bayaran keseluruhan RM10,000 bagi menampung kesemua kos,” terangnya.
Dua beradik itu berasal dari Kelantan, akan tetapi keluarga mereka kini bekerja dan menetap di Kuantan.
Berdasarkan kenyataan Araz, turut dipaparkan kepada mereka gambar beberapa individu yang berjaya dihantar ke London untuk bekerja sebagai pekerja am di situ oleh seorang lelaki yang berusia 30-an.
Sejurus itu, kedua-dua beradik ini pun berbincang dengan keluarga mengenai perancangan mereka untuk bekerja di sana.
Mereka difahamkan telah mendapatkan bantuan wang simpanan ibu mereka berusia 54 tahun yang merupakan pengusaha gerai makan di Kuantan untuk membiayai kos keseluruhan dengan seperti yang dinyatakan lelaki tersebut.
Namun begitu, semuanya janji kosong apabila mereka terpaksa hidup sebagai gelandangan di London selama 4 hari sebelum diselamatkan oleh lelaki warga tempatan bernama Mich yang berasal dari Johor Bahru.
“Kami hanya memiliki RM3, kami bernasib baik apabila ada yang sanggup menawarkan kos pengangkutan percuma bagi kami keluar dari kawasan lapangan terbang.
“Mulai 28 hingga 31 Oktober kami tinggal di kaki lima bangunan, ambil makanan yang disedekahkan di gereja, tidur dalam kesejukan kerana suhu di sini adalah antara 14 hingga 19 darjah Celsius, mengutip sisa makanan ditinggalkan selain terpaksa meminta wang daripada beberapa individu bagi meneruskan kehidupan.
“Pada hari ketiga, kami bertemu dengan seorang hamba Allah yang memberi cadangan kepada kami untuk ke Bayswater, London kerana menyatakan di sana berpeluang bertemu ramai penduduk dari Malaysia.
“Kami berjalan kaki hampir dua jam pada hari keempat untuk sampai ke Bayswater dan di situ kami bertemu Mich yang menjadi penyelamat kami,” katanya.
Araz turut meluahkan dia dan abangnya berasa sebak apabila akhirnya dapat bertemu dengan rakyat Malaysia yang mampu memahami masalah yang menimpa mereka.
Katanya, Mich juga menawarkan tempat tinggal sementara, makanan serta menghubungi keluarga mereka bagi berkongsi apa yang berlaku.
“Saya mahupun abang tidak bersekolah tinggi dan kami memasang harapan bekerja di sini untuk membayar balik wang yang dipinjam dari ibu selain mengubah nasib keluarga.
“Abang sudah berkahwin dan memiliki tiga cahaya mata, malah kami juga menyara bapa yang berusia 70-an.
“Kedua ibu bapa kami juga tidak sihat dan memiliki beberapa komplikasi kesihatan dan ketika membuat panggilan video, kami cuba menjelaskan keadaan kami di sini dan usaha bagi mendapatkan pekerjaan,” katanya yang berasal dari Kelantan.
Dalam pada itu, Mich berkata, dia mendapat tiket penerbangan pulang ke Malaysia yang dibekalkan oleh ‘ejen’ berkenaan adalah palsu.
Ketika dia bertemu dengan dua beradik berkenaan, mereka menangis meminta pertolongan.
Dikatakan salah seorang daripada mereka sudah berfikir untuk bunuh diri akibat hidup merempat setelah diperdaya, dan Mich juga dalam usaha mendapatkan pekerjaan kepada mereka atas permintaan dua lelaki itu serta bantuan majikan.
“Sepanjang menjadi tukang masak restoran di sini, Mich tidak pernah terdengar terdapat ejen pekerjaan yang boleh mencarikan pekerjaan di sini.
“Diharap rakyat Malaysia tidak terpedaya dengan janji manis individu atau sindiket tertentu,” ulasnya lanjut.