Connect with us

Semasa

Didenda RM4,500 Miliki Gambar, Video dan Fail PDF Lucah

Menyimpan gambar mahupun video lucah merupakan kesalahan di sisi undang-undang. Namun masih ramai juga mengulangi kesilapan yang sama meskipun telah dikenakan hukuman.

Dalam dunia yang semakin moden, segala jenis konten dapat kita akses dengan cara yang mudah. Pun begitu, kita tidak seharusnya mengambil atau menyimpan konten tidak sepatutnya di dalam telefon bimbit mahupun gajet yang lain.

Akibat menyimpan gambar, video dan fail berformat PDF lucah dalam telefon bimbit, hari ini seorang kerani syarikat jualan didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di Kangar.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Majistret Kamaliza Md. Zain menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Asyraf Hafizuddin Abdul Jalil, 26, selepas mengaku bersalah semasa sebutan kes.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki yang sudah berumah tangga tersebut didapati memiliki 80 gambar lucah, 163 video lucah dan satu fail berformat PDF lucah dalam telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A50.

Kesalahan tersebut dilakukan kira-kira pukul 11.30 pagi pada 31 Mac tahun lalu di Taman Jelempok Jaya, Kampung Utan Kandis, Arau dan didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Asyraf Hafizuddin yang tidak diwakili peguam merayu denda yang minimum kerana ini adalah kesalahan pertama selain memohon maaf atas kesilapan itu dan telah insaf serta berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Selain itu, lelaki tersebut memberitahu dia baru sahaja berkahwin dan kini sebumbung bersama ibu bapa mentua yang tidak bekerja serta berharap hidup padanya yang berpendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.

Walau bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Fazril Sani Mohamed Fadzil meminta mahkamah mengenakan hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Setelah mendengar kedua-dua hujah, Kamaliza mendapati tertuduh bersalah dan menjatuhi hukuman denda RM4,500 atau penjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Terduduh kemudiannya dilaporkan membayar denda dan dilepaskan.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.