Connect with us

Selebriti

Didakwa Muat Naik Komunikasi Sumbang, Datuk Vida Terima Saman Pukul 4 Pagi

Tidak salah untuk berkarya dengan kreativiti masing-masing, akan tetapi pengkarya haruslah tahu akan limitasi dan tidak melanggar mana-mana peraturan serta undang-undang yang telah tertulis.

Iospital phone repair gombak

Seperti kisah yang tular baru-baru ini yang melibatkan seorang ahli perniagaan terkemuka, Datuk Seri Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida (DSV) mengakui terkejut selepas menerima saman untuk kehadirannya di mahkamah.

Berdasarkan laporan Harian Metro, saman tersebut diterima di rumahnya di Meru, Ipoh, Perak beberapa hari lalu.

Difahamkan saman tersebut tiba di lokasi berkenaan selepas dimaklumkan bahawa pegawai yang menghantar dokumen itu mencarinya di beberapa premis termasuk di pejabat dan kediamannya.

Akibat sibuk dengan urusan perniagaan yang dikendalikannya, Vida menyatakan bahawa beliau segera berhubung dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebaik sahaja mendapat makluman ada pegawai yang mencari bagi menyerahkan saman.

“Sebenarnya saya agak terkejut menerima saman ini. Ia dihantar di rumah saya di Meru pada jam 4 pagi.

“Kebetulan saya baru pulang dari hospital, saya terkejut dan pada mulanya tidak mahu menerima saman itu.

“Mereka kemudian meninggalkan nombor telefon dan saya menghubungi semula sebelum dimaklumkan mereka akan menghantar saman berkenaan.

“Sebelum ini saya ada dipanggil untuk memberi keterangan mengenai video Muah Muah Raya, tapi tak sangka sebesar ini kerana saya tidak mempromosikan lagu itu,” jelas Vida di mahkamah pada hari ini.

Vida bersama anaknya Cik B serta diwakili peguam Datuk Adnan Seman tiba di Kompleks Mahkamah Sepang.

Apabila ditanya mengenai akan sebab mengapa beliau tidak terus membuat pengakuan bersalah seperti yang dilakukan sebelumnya oleh usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, Vida menjelaskan bahawa beliau tidak boleh sewenang-wenangnya membuat pengakuan salah tanpa mengetahui perkara dan kesalahan sebenar terlebih dahulu.

Terang Vida, beliau juga bimbang jika pengakuan salah yang dibuat tanpa mengetahui perkara sebenar akan memberikan impak besar terhadap perjalanan perniagaannya.

Oleh hal demikian, beliau menyerahkan kepada peguam yang mewakilinya, Adnan dan pasukannya untuk mengkaji dan mengambil tindakan selanjutnya termasuklah untuk memastikan beliau agar tidak perlu kerap ke mahkamah.

Sementara itu, Vida turut membayangkan tidak akan berhenti mengeluarkan klip video muzik di masa hadapan, walaupun sedang berhadapan dengan pertuduhan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), iaitu memuat naik komunikasi bersifat sumbang beberapa bulan lalu.

Bahkan, beliau turut menganggap pertuduhan itu merupakan suatu peluang untuknya bagi melihat perkara yang tidak boleh dilakukan serta tidak mengulanginya pada masa depan kelak.

“Kalau kita tahu benda mana kesalahan (yang dilakukan)… kita kena ‘clear’ (jelas) dan tidak akan buat benda yang sama. Saya akan lebih berhati-hati,” ujarnya.

Dalam pada itu, Adnan memaklumkan bahawa pada 7 Disember ini, pihaknya akan meneliti dokumen lengkap berkaitan kes berkenaan yang akan diterima daripada pihak pendakwaan seperti yang diarahkan oleh mahkamah.

Demikian katanya, beliau hanya mempunyai dokumen kertas pertuduhan yang dihantar kepadanya oleh Vida melalui aplikasi WhatsApp pada ketika ini.

“Kita akan teliti dokumen dan akan lihat apa tindakan selanjutnya. Tapi hari ini, pada pihak kita, kami membuat pengakuan tidak bersalah buat masa ini,” ulas Adnan.

Kata Adnan lagi, isu video yang mengandungi bahan dianggap sumbang atau sebaliknya sebenarnya bergantung kepada interpretasi seseorang.

Jelasnya, kes berikut juga mampu memberikan peluang kepada banyak pihak untuk mengetahui dan memahami peruntukan undang-undang dan impaknya.

“Kadang kala ramai yang tidak faham implikasi undang-undang terhadap setiap bahan yang dimuat naik melalui media sosial kerana kini ada bermacam-macam trend di aplikasi TikTok dan YouTube.

“Bagi sesetengah pihak melihat ia sumbang tetapi bagi sesetengah pihak ia adalah benda yang ‘trending’. Benda ini kita perlu jelas.

“Kita akan nasihatkan anak guam lebih kepada interpretasi undang-undang dan bukan soal ‘trending’,” jelas Adnan lanjut.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.