Connect with us

Semasa

Zii Jia Gembira Dapat Restu Tan Sri Norza Untuk Bergerak Secara Profesional

Baru-baru ini negara digemparkan dengan sebuah berita di mana pemain handal badminton negara, Lee Zii Jia mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Sebelum ini, Zii Jia memberitahu dirinya tidak boleh tahan tekanan. Tindakan pemain berusia 23 tahun itu secara tidak langsung memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama sekali peminat sukan.

Jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia menyahihkan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah memberi restu untuknya bergerak secara profesional.

Menurut laporan yang ditulis Berita Harian, hari ini Juara Seluruh England 2021 itu mendedahkan perkembangan positif itu menerusi hantaran di Facebook miliknya, selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi BAM.

“Saya sangat gembira apabila dapat mengadakan pertemuan hati ke hati dengan Tan Sri Norza bersama dengan keluarga saya. Saya gembira apabila kami dapat menyelesaikan masalah yang timbul selepas mendapat restu daripada Tan Sri untuk saya menjadi pemain profesional.

“Pencapaian yang saya raih sebelum dan selepas ini akan sentiasa menjadi produk daripada Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia. Saya sangat bertuah apabila mendapat bimbingan Tan Sri dan memberi saya peluang bagi berkhidmat kepada negara yang tercinta,” kata Zii Jia.

Zii Jia yang kini  menduduki tangga ketujuh dunia turut menyampaikan perkhabaran gembira kepada skuad badminton kebangsaan apabila menyatakan komitmennya untuk beraksi dalam Kejohanan Berpasukan Asia yang bakal berlangsung tidak lama lagi di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam, bulan depan.

“Buat masa sekarang, saya menyatakan komitmen untuk beraksi dalam Kejohanan Berpasukan Asia. Saya berharap penyelesaian ini akan menyatukan sebagai rakyat Malaysia dan peminat sukan badminton.

“Teruskan sokongan kepada BAM dan pemain profesional negara yang juga lahir daripada BAM kerana akhirnya kita semua adalah satu,” katanya.

Sebelum ini, Zii Jia juga sempat mengadakan perbincangan dengan Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, Timbalan Presiden 2 BAM dan Datuk Kenny Goh, Setiausaha Agung BAM ekoran rayuan yang dihantarnya, semalam berikutan tindakan dikenakan badan induk itu ke atas dirinya, Jumaat lalu.

BAM turut membuat keputusan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun atas keputusannya meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.