Connect with us

Semasa

Telur Ayam Berkurang, Cuaca Antara Faktor – Kementerian Pertanian & Industri Makanan

Sebelum ini rakyat dikhabarkan dengan berita kekurangan stok ayam sehingga terpaksa mengimport ayam dari beberapa buah negara luar.

Bukan itu sahaja, rakyat kini berdepan pula dengan kekurangan stok telur ayam yang dikatakan berpunca daripada faktor cuaca di negara ini.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) mengesahkan, iklim yang tidak menentu di negara ini menyumbang kepada kekurangan penghasilan dan pengeluaran telur ayam dalam negara.

Memetik laporan daripada Harian Metro, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, punca berkenaan bukan sahaja mempengaruhi pengeluaran sektor pertanian, malah ia turut menjejaskan haiwan ternakan dan perikanan.

Jelas beliau lagi, kejadian banjir yang melanda sebelum ini dan peningkatan harga bekalan makanan ayam yang diimport dari luar negara turut menyebabkan kekurangan pengeluaran telur.

“Telur ikut trend… terutamanya bulan Januari dia kurang tapi bulan Februari akan meningkat balik kerana perkara ini (pengeluaran telur ayam) bermusim.

“Kenaikan (harga) juga berdasarkan pesanan dan bekalan. Begitu juga banjir serta pekerja terjejas kerana Cov19, sebab kalau tiada pekerja lagi sukar hendak keluarkan makanan, ayam, telur.

“Bekalan makanan (ayam), bahan mentah kita import, memang harga cukup meningkat,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor Kali Ke 44, di Hotel Mardhiyah di Shah Alam, malam tadi.

Mengulas lebih lanjut, beliau turut tidak menafikan kewujudan kawalan harga barang berkenaan dari pihak peruncit.

“Memang ada kita (kementerian) dapati, memang ada kebenaran berhubung kawalan harga (di pihak peruncit). Orang sentiasa berikan perhatian pada pengeluar. Kita mesti faham apa dia punya harga kos dan pengeluar.

“Tapi peruncit, awak naikkan (harga). Jadi di situ kita akan sentiasa berikan perhatian dengan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana kita membekalkan dan kementerian itu memastikan harga (tidak tinggi),” katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar mendapati bekalan telur ayam pelbagai gred bukan sahaja semakin berkurangan di seluruh negara, malah kebanyakan pasar raya serta kedai runcit berdepan masalah kehabisan stok sehingga rak yang menempatkan telur ayam ditemui kosong.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.