Connect with us

Semasa

‘Cop Parkir’ Buat Macam Sendiri Punya, Penduduk Luah Rasa Kesal

Isu ‘cop parkir’ di kawasan perumahan bukanlah suatu perkara yang jarang kita dengar. Isu ini jelas menunjukkan individu tersebut hanya mementingkan diri sendiri dengan terbukti bahawa perbuatan itu sebenarnya menyalahi undang-undang.

Berdasarkan laporan Harian Metro, situasi ‘cop parkir’ ini dapat dilihat di beberapa pangsapuri sekitar Bandar Perda, Bukit Mertajam sehinggakan penduduk di kawasan tersebut memilih untuk membuat aduan mengenai masalah ini disebabkan tiada tindakan yang diambil sehingga ke hari ini.

Malah apa yang lebih teruk, ada pula penduduk yang berang apabila ditegur mengenai sikap ‘cop parkir’ itu sehingga mereka melakukan perkara yang di luar jangka.

Ekoran itu, masalah itu semakin sukar untuk ditangani bahkan semakin sukar untuk dikawal.

Salah seorang penduduk di situ, Mizi, 30-an menyatakan bahawa dia sebagai seorang penghuni baharu di pangsapuri tersebut rela meletakkan kenderaannya lebih jauh dari kediamannya.

Hal ini dilakukan olehnya demi mengelakkan persengketaan yang boleh berlaku antara jiran di sekelilingnya.

“Budaya ‘cop’ parkir ini kebanyakannya dilakukan oleh penduduk asal yang sudah lama tinggal di pangsapuri ini dan mereka tidak mahu letak kenderaan jauh dari kediaman mereka.

“Jadi, mulalah letak macam-macam objek untuk halang kenderaan lain masuk yang sebenarnya bagi saya amat menjengkelkan, tetapi apa boleh buat kerana tidak mahu bergaduh maka terpaksa pejam mata sahaja.

“Selalunya penduduk yang baharu terpaksa akur dengan keadaan seperti ini walaupun kami rasa tidak sepatutnya memandangkan kami juga bayar kos penyelenggaraan sama seperti penduduk asal,” jelasnya.

Terangnya, surat dan notis telah diberikan beberapa kali oleh pihak perbadanan pengurusan (MC).

Bukan itu sahaja, pihak berkaitan juga telah berusaha mengangkat objek-objek yang diletakkan seperti kon, kerusi, pasu bunga, penyidai baju dan tong sampah yang dijadikan sebagai tanda ‘cop’ parkir tersebut.

Namun begitu, penduduk di situ masih tetap berdegil.

“Saya dimaklumkan ada juga yang pernah bertindak di luar jangka dengan memecahkan cermin kereta dan memancitkan tayar kereta salah seorang pihak pengurusan di sini kerana berang mengangkat keluar objek yang mereka (penduduk) letak.

“Mereka (MC) memang bekerja dan maklumkan ‘cop’ parkir ini adalah satu kesalahan, tetapi entahlah mungkin sebab ‘besar kepala’ jadi ada yang buat endah tidak endah, akibatnya masalah ini tidak dapat diselesaikan bahkan terus berleluasa,” ulas lanjut beliau.

Sementara itu, Mizi menyuarakan pendapatnya bahawa tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas perlu diambil dengan segera untuk mengatasi isu tersebut.

“Saya tahu mungkin sekarang susah untuk menjalankan penguatkuasaan kerana masing-masing hidup berjiran dan beginilah suasana yang perlu ditempuh dalam kehidupan pangsapuri.

“Tetapi jika tidak ada penguatkuasaan lebih tegas sampai bila pun masalah ini sukar untuk diatasi apatah lagi kesalahan ini sudah termaktub dalam undang-undang yang jika dilaksanakan pasti penduduk akan akur,” terangnya.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.