Connect with us

Semasa

Cadangan Rokok & Vape Diharamkan Generasi Lahir Pada 2007, Ini Penjelasan Khairy Jamaluddin

Seperti yang kita tahu, rokok dan vape terbukti membahayakan kesihatan penggunanya. Oleh hal demikian, pihak yang berkaitan mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan masalah penggunaan rokok dan vape ini.

iospital phone repair gombak

Baru-baru ini Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin sempat memberikan ucapan mengenai bahaya rokok dan rancangan jangka panjangnya bagi pengurangan tembakau dan e-rokok.

Difahamkan, Khairy memberikan kata-kata itu dalam acara walkathon World Lung Day 2022 Fun Walk di Taman Botani Negara Shah Alam.

Bagi merealisasikan visi menjelang tahun 2040 untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas tanpa amalan merokok kurang dari 5%, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan kempen GEGAR-18 (Generational EndGame Anti Rokok) pada April yang lepas.

Dikatakan, akta baharu telah diperuntukkan dalam kempen advokasi ini iaitu larangan merokok serta penggunaan rokok eletronik dan vape terhadap anak-anak yang lahir dari tahun 2007 dan seterusnya atau lebih dikenali sebagai Generational EndGame (GEG).

“Kita berhak mendapat udara bersih, dan yang lebih penting, generasi selepas kita iaitu anak dan cucu kita juga berhak mendapat udara bersih.

“Untuk memastikan perkara ini, tiada sesiapa yang lahir selepas 2007 boleh membeli rokok, boleh membeli vape lagi, di sini, di Malaysia,” terang Khairy dalam ucapannya di walkathon Fun Walk itu.

Walau bagaimanapun, sesiapa yang melakukan kesalahan ini tidak akan ditangkap atau dimasukkan ke penjara.

Malah, usaha ini dilakukan oleh pihak mereka bagi melindungi rakyat Malaysia terutamanya generasi muda daripada bahaya rokok dan juga vape.

Menurut Khairy, sememangnya kerajaan mempunyai cukai eksais rokok yang tinggi akan tetapi jumlah itu tidak dapat dibandingkan dengan jumlah perbelanjaan rawatan kerajaan yang digunakan untuk rawatan perubatan bagi penyakit dan masalah berkaitan pernafasan setiap tahun.

“Kita mendapat kira-kira RM2 hingga 3 bilion setahun, tetapi adakah anda tahu berapa banyak yang kita belanjakan untuk merawat kanser paru-paru, penyakit paru-paru obstruktif kronik, dan penyakit jantung kerana merokok?

“Kira-kira RM6 bilion pada waktu ini dan jumlah tersebut akan meningkat sehingga RM8 bilion setiap tahun,” jelasnya.

Dikatakan dalam akhir ucapannya, Khairy menyeru kepada rakyat Malaysia agar kita bersama-sama berganding bahu untuk memperjuangkan hak kita semua untuk mendapat udara yang bersih dan melindungi generasi akan datang daripada merokok.

“Sekiranya kita tahu apa yang kita tahu tentang merokok hari ini, kita tidak akan pernah benarkan ia dijual di negara ini,” ulas lanjut beliau.

 

Video ucapan Khairy Jamaluddin:

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.