Connect with us

Bantuan

Bayi 8 Bulan Hilang Suara Gara-gara Kemalangan

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Demikianlah peribahasa yang sesuai digambarkan buat keluarga yang terpaksa menjaga bayi yang sakit akibat daripada kemalangan.

Yang lebih menyedihkan apabila si ibu terpaksa menahan sebak melihat penderitaan yang ditanggung oleh anak kecil mereka. Bagi mereka, seorang bayi tidak sepatutnya menanggung kesakitan yang berat kerana masih kecil. Namun apakan daya, sudah takdir begitu.

Menurut laporan Harian Metro, seorang bayi berusia lapan bulan di Kuala Krai kehilangan suara selepas terlibat kemalangan dan terpaksa menanggung derita sejak lebih dua bulan lalu.

Menurut Nur Adilla Ab Ghani, 30, ibu kepada Ahmad Ilham Mohd Basyid seorang yang aktif dan mudah ketawa apabila didekati sesiapa. Namun semuanya berubah akibat kemalangan yang berlaku pada Mei lalu.

Katanya, anak bongsu daripada dua beradik itu mengalami pendarahan di kepala dan perlu menjalani pembedahan membuang darah beku di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk diselamatkan.

“Selama 10 hari anak saya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital USM yang kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai, bagi rawatan lanjut dan hampir dua minggu berada di sana sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

“Lebih menyedihkan lagi, leher anak saya juga terpaksa ditebuk untuk memudahkannya bernafas selain perlu minum susu yang diberikan melalui tiub yang dipasang di hidungnya, malah kedua-dua matanya tidak dapat melihat kesan daripada pendarahan di kepala,” katanya di rumahnya di Kampung Sungai Durian.

Sebelum ini, mereka menerima kunjungan daripada aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed yang menyumbangkan wang zakat dan barang keperluan makanan asas.

Selain itu, Nur Adilla yakin anak bongsunya itu akan pulih dan menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain.

“Kami sekeluarga tidak pernah putus mendoakan Ahmad Ilham cepat sembuh dan apa pun keadaannya selepas ini, kami tetap menjaganya walau dalam apa keadaan sekalipun kerana dia darah daging kami,” katanya.

Sementara itu, RM500 diperuntukkan Nur Adilla pada setiap bulan untuk membeli keperluan anak bongsunya termasuk lampin pakai buang dan susu berharga RM 117 setin yang hanya mampu bertahan untuk tempoh sembilan hari.

“Bagi meneruskan kelangsungan hidup, kami sekeluarga hanya bergantung kepada suami yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM50 sehari dan ada ketika terpaksa meminjam wang daripada keluarga terdekat untuk membeli barang keperluan anak bongsu kami.

“Dalam masa sama, saya juga masih berhutang dan belum melangsaikan sepenuhnya bil rawatan anak ketika mendapatkan rawatan di Hospital USM,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubunginya di talian 016-3474283.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.