Connect with us

Semasa

Harga Ayam Turun 20 Sen Mulai 1 Januari

Kenaikan harga barang jualan sejak akhir-akhir telah menjadi rungutan ramai.

Menurut pembeli, situasi ini harus dipantau dan diambil kira oleh pihak berkuasa berikutan dengan ekonomi yang baru sahaja meningkat akibat kesan daripada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lama.

Beberapa bahan mentah seperti ayam segar, telur serta dua jenis sayuran iaitu sawi dan kacang panjang akan mengalami penurunan harga bermula 1 Januari.

Menurut laporan Kosmo, Azman Adam iaitu Pengarah Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Pengguna memberitahu keempat-empat bahan mentah tersebut adalah sebahagian daripada 12 jenis barangan yang diwartakan di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM).

“Mulai esok akan terdapat harga baharu untuk SHMKM di Semenanjung dengan mengambil kira situasi dan lokaliti iaitu empat item yang mengalami pelarasan semula harga seperti ayam dari RM9.30 kepada RM9.10 serta penurunan harga telur, sawi dan kacang panjang sekitar 50 sen.”

“Kita mengikut trend dan keadaan harga semasa (barangan), jadi kita turunkan harga tersebut semasa ia turun serta untuk pastikan harga itu tidak naik lagi dalam tempoh kawalan tersebut,” jelas beliau kepada pemberita.

Penjelasan tersebut dibuat selepas Walkabout Ops Back To School dan SHMKM di sebuah pasar raya besar di Bukit Mertajam diadakan.

Selain itu Azman juga memberitahu pemeriksaan di 25,897 premis dalam tempoh pelaksaaan SHMKM telah dijalankan bermula 7 Disember lalu hingga semalam membabitkan 85 kes kesalahan daripada 50 aduan.

“Setakat ini kompaun sebanyak RM20,000 dikeluarkan dengan sebahagiannya masih dalam siasatan berhubung kesalahan seperti menjual barang kawalan melebihi harga maksimum dan tidak letak tanda harga.”

“Manakala, bagi Skim harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2021 pada 23 Disember hingga 31 Disember, pematuhannya adalah hampir 100 peratus daripada 7,178 peremis diperiksa,” jelasnya lagi.

Menerusi perkembangan yang dilihat, pihak beliau akan mengadakan operasi khas bermula esok bagi memastikan isu mengenai bekalan barangan di negeri-negeri yang terlibat dengan bencana banjir dapat ditangani.

“Setakat ini tak ada sangat aduan kenaikan harga di tempat terlibat banjir seperti Selangor dan Pantai Timur, cuma ada beberapa kes barang terputus sementara berikutan masalah logistik di beberapa kawasan,” jelasnya.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.