Connect with us

Semasa

Balak dan Pokok Besar Hanyut Dipercayai Kerana Kepala Air

Seperti yang kita tahu, hujan lebat di beberapa buah negeri baru-baru ini telah menjadi punca banyak kerosakan alam yang berlaku.

Selain itu, paras air di sungai juga meningkat dan mampu menyumbang banyak lagi kesan buruk.

Semalam, tersebar luas tentang beberapa keping gambar yang menunjukkan balak hanyut bergelimpangan merata-rata tempat. Punca kejadian tersebut dipercayai oleh kerana kepala air yang terlalu deras dari Sungai Kerau selepas taburan hujan meningkat menyebabkan paras air sungai juga bertambah serta hanyutnya balak di jambatan Sri Telemong Jalan Karak-Pelangai.

Menerusi sumber laporan Harian Metro, laluan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dekat Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Karak terpaksa ditutup sementara buat beebrapa hari selepas menemui longgokan balak dan sisa-sisa pokok besar di situ.

Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin iaitu Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menjelaskan kepada orang ramai bahawa pihaknya akan segera melakukan siasatan yang lebih lanjut untuk mengetahui apakah sebab berlakunya kejadian balak dan sisa pokok hanyut di dua tempat berkenaan.

Jelas Datuk Dr Mohd Hizamri lagi, paras air Sungai Temeriak meningkat secara mendadak ekoran daripada hujan lebat berterusan yang berlaku sepanjang tiga hari berturut-turut bermula daripada 16 Disember yang lalu hingga berlakunya kejadian kepala air.

Jelasnya, sisa kayu dan pokok besar dan kejadian tanah runtuh adalah disebabkan oleh penambahan paras air sungai mengakibatkan kadar kelajuan sungai tersebut meningkat serta ditambah pula dengan sungai yang menuruni bukit menjadikan bahana kepala air yang lebih kuat.

“Pemantauan udara menggunakan dron telah dilakukan. Kita dapati tidak ada sebarang aktiviti pembukaan hutan di dalam Hutan Simpan Lentang, di sini.”

“Kawasan Hutan Simpan Lentang dikelaskan sebagai Hutan Tadahan Airyang diwartakan semenjak 2002,” jelas beliau bersama Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad dan Pegawai Hutan Daerah (PHD) Bentong, Haffiz Baharuddin selepas meninjau kawasan Kampung Telemong.

Menurut beliau, Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang mengalir daripada Hutan Simpan Lentang yang kemudiannya melalui kawasan Tanah Milik juga menjadi faktor kejadian kepala air.

Setakat ini, tiada lagi laporan berkenaan aktiviti pembalakan dipercayai berlaku di kawasan itu kerana pokok yang yang tumbang terdiri daripada berbagai-bagai saiz dan hanyut selepas tercabut bersama akar dab tidak ada kesan tebangan.

Penduduk di sekitar kawasan tersebut sendiri melihat kejadian kepala air yang begitu deras sehingga menghanyutkan balak termasuk sisa pokok.

“Saya berharap masyarakat tidak terus menyalah kerajaan dalam hal ini kerana kita sentiasa berusaha menjaga alam sekitar serta kepentingan masyarakat setempat.

“Kejadian banjir yang berlaku minggu lalu dianggap luar biasa berikutan hujan yang berlaku selama tiga hari berturut-turut,” katanya.

Yeong Onn Hong yang juga penduduk Kampung Sri Telemong berkata arus air deras membawa bersama sisa pokok yang patah dan tercabut seterusnya tersekat dekat jambatan Kampung Sri Telemong.

“Di kawasan ini tidak terdapat aktiviti pembalakan dan sebagai penduduk setempat saya memberi jaminan kejadian balak hanyut disebabkan kepala air yang terlalu deras,” jelasnya.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.