Connect with us

Semasa

Arab Saudi Laksanakan Semula Pemakaian Face Mask & Penjarakan Fizikal Untuk Bendung Varian Omicron

Wabak pandemik yang melanda dunia kian meresahkan dengan wujudnya varian-varian yang baru. Namun tahun ini banyak sempadan negara yang telah dibuka lantas membenarkan kita ke luar negara.

Berita gembira ini secara tak langsung memberi ruang terutamanya umat Islam yang ingin menunaikan ibadah haji atau umrah di Mekah. Namun, tempat ibadah juga harus mematuhi SOP seperti mengekalkan jarak selamat antara satu sama lain.

Menurut sumber laporan akhbar Saudi Gazette semalam, Presidensi Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci telah mengisytiharkan pelaksanaan semula peraturan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal yang diwajibkan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, berkuat kuasa pukul 7 pagi (waktu tempatan) hari ini.

Menerusi laporan daripada Kosmo pula, dalam satu kenyataan yang dibuat oleh pihak berkuasa Arab Saudi berkata, keputusan menjaga langkah-langkah penjarakan fizikal dalam kalangan jemaah umrah dengan menjarakkan sejadah dan semasa melakukan tawaf itu diambil semula demi memastikan kesihatan dan keselamatan para jemaah.

Justeru itu, pihak presidensi meminta jasa baik semua jemaah dan pekerja di Dua Masjid Suci untuk sentiasa berhati-hati dengan wabak pandemik ini dengan memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal agar tidak dijangkiti.

Selain daripada itu, orang ramai turut diarahkan untuk masuk ke dalam masjid mengikut waktu yang ditetapkan dalam permit umrah dan solat yang dikeluarkan oleh aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.

Demi menjaga kesejahteraan para jemaah yang datang dari seluruh pelosok dunia, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi semalam juga mengumumkan pelaksanaan semula peraturan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di semua kawasan tertutup dan terbuka yang turut berkuat kuasa hari ini.

Hal ini dilakukan demi membendung daripada varian Omicron terus menular kepada orang ramai serta menyebabkan peningkatan kes harian di negara itu.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.