Connect with us

Politik

“BN beriltizam mengembalikan acuan Malaysia Asal” – Zahid Hamidi

Konvensyen Barisan Nasional 2022 dan Sambutan Ulang Tahun Barisan Nasional ke-48 baru sahaja berlangsung pada hari ini Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Barisan Nasional (BN) mahu mengembalikan acuan Malaysia Asal (The Original Malaysia) berpandukan formula BN, berserta penambahbaikan bagi memperbaiki segala kelemahan dan menjernihkan segala keterlanjuran lalu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga merupakan pengerusi berkata, selepas lebih empat tahun Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berlalu, gabungan itu yakin, hanya BN yang mampu mencipta kestabilan, bukan retorik ‘Malaysia Baharu’ yang ternyata gagal.

“Malaysia Asal adalah berpandukan formula BN yang digagaskan nenek moyang kita, yang dipaterikan melalui Perlembagaan Persekutuan dan diperkasa melalui Rukun Negara serta pelbagai dasar berteraskan prinsip toleransi dan kesetiaan yang tinggi dalam kalangan rakyat berbilang kaum.”

“BN beriltizam mengembalikan acuan Malaysia Asal, namun dengan penambahbaikan termasuk agenda pembaharuan institusi bagi memastikan prinsip tadbir urus yang baik, ketelusan dan pembasmian segala bentuk penyimpangan dan rasuah,” katanya.

“Kita perlu menampilkan lebih ramai muka baharu sebagai wajah hadapan BN. Kita sudah buktikan 87 peratus muka baharu pada PRN Melaka dan 79 peratus di Johor menangkap imaginasi pengundi untuk kembali bersama BN.”

“BN juga mesti bersifat inklusif dan lebih terbuka. Demi memastikan negara stabil dan rakyat sejahtera, BN perlu terbuka untuk menjalin kerjasama, mahu pun menerima sesiapa saja, selagi mereka menerima prinsip BN,” katanya.

“BN perlu mengembalikan ekonomi Malaysia ke landasan asal untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi, dengan matlamat menjadikan negara sebagai destinasi utama pelaburan rantau Asia Tenggara, agihan ekonomi saksama, memperhebat pelbagai bantuan kepada rakyat berasaskan orientasi keperluan dan bukan kaum, pengurusan ekonomi mapan dan lebih telus serta berpandukan tadbir urus yang baik dan merancakkan kembali pertumbuhan.”

“BN memiliki pengalaman dan kepakaran untuk digembleng bagi menyusun semula usaha memacu ekonomi dan membantu rakyat yang kini sedang berdepan kos sara hidup yang tinggi dan harga barangan keperluan yang meningkat amat mendadak,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Zahid memaklumkan, pasukan kerja pusat BN diketuai Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mula turun ke negeri bagi meninjau persiapan jentera parti menjelang PRU15, pertengahan bulan ini.

“Saya mahu Jawatankuasa Pilihan Raya BN di setiap peringkat diaktifkan segera. Tanamkan dalam pemikiran dan tindakan kita mulai sekarang, yang bertanding adalah BN, bukan MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), malah jika ada peluang untuk parti bergabung, mereka juga membawa wajah dan wadah BN.”

“Gerakan kita adalah gerakan biru. Lambang kita adalah satu, dacing yang menjadi lambang neraca kesetiaan dan kestabilan, lambang kemakmuran dan kesejahteraan,” katanya.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.