Politik
Anggap Janji Pengeluaran KWSP ‘Gula-Gula’ Pada Rakyat, Syed Saddiq Tampil Beri Kenyataan

Seperti yang kita tahu, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sering dinanti-nantikan orang ramai untuk dibuka semula lebih-lebih lagi pada waktu ekonomi yang semakin melarat ini.
Susulan itu, pengeluaran KWSP ini dijadikan manifesto parti politik untuk meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Menerusi laporan Harian Metro, Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan bahawa pihak yang menggunakan duit simpanan KWSP sememangnya tidak berfikir untuk jangka masa panjang.
“Mereka hanya akan berjaya melepaskan diri daripada tangani dan selesaikan isu pokok dan gunakan jalan pintas dengan membenarkan pengeluaran KWSP tanpa sebarang perancangan yang konklusif untuk bantu rakyat.
“Memang ‘sedap’ dalam jangka masa pendek, tetapi takkan tidak terfikir akan impak jangka masa yang panjang kepada rakyat?” soal Syed Saddiq.
Calon MUDA di Parlimen Muar ini turut menegaskan bahawa pihaknya menolak sekeras-kerasnya menjadikan pengeluaran duit KWSP sebagai janji atau manifesto kepada rakyat dalam PRU15.
Perkara tersebut juga disifatkan sebagai suatu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
“Peratusan penyimpanan KWSP adalah pada kadar yang sangat membimbangkan ketika ini.
“Sebelum ini pihak KWSP mendedahkan sebanyak 52 peratus ahli KWSP mempunyai kurang daripada RM 10,000 dan 27 peratus daripada mereka pula hanya mempunyai RM 1,000.
“Data berkenaan adalah selepas pihak kerajaan membenarkan pengeluaran ‘one-off’ daripada akaun KWSP sejak pandemik lalu melalui pengeluaran i-Lestari, i-Sinar hinggalah ke i-Citra,” jelas beliau mengenai isu berkenaan.
Mengulas lanjut, pihak KWSP turut mengeluarkan kenyataan dan mengakui bahawa untuk bersara dalam tempoh 20 hingga 30 tahun, rakyat memerlukan simpanan sekurang-kurangnya RM 900,000 ke RM 1 juta.
“Semakin banyak pengeluaran yang dibuat, semakin bertambah tahun yang diperlukan untuk mereka ini bekerja bagi untuk duit persaraan mereka.
“Sebab itu saya konsisten daripada dahulu bahawa pengeluaran KWSP berkenaan bukan bantuan daripada kerajaan. Duit KWSP ini adalah duit kita sendiri. Duit hasil titik peluh rakyat yang bekerja untuk menampung diri dan keluarga,” tegasnya.
Demikian dengan itu, Syed Saddiq bakal merujuk kepada kenyataan Perikatan Nasional (PN) akan meneliti pengeluaran KWSP secara bersasar sekiranya menang pada pilihanr raya yang bakal dijalankan pada 19 November ini.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa pengeluaran tersebut bakal menjadi pertimbangan walaupun ianya tidak terdapat dalam tawaran PN pada PRU15 kali ini.
Jelas Muhyiddin, hal itu disebabkan kerajaan pusat yang diterajuinya sebelum ini pernah membenarkan tiga pengeluaran caruman menerusi inisiatif i-Citra, i-Lestari dan i-Sinar.