Connect with us

Semasa

8,000 Unit Perumahan Untuk Bumiputera, Nantikan BPEX Pada Oktober Hadapan

Umumnya, Bumiputera Malaysia ialah penduduk asal Tanah Melayu misalnya semua suku kaum Orang Asli, Melayu, peribumi Sabah, dan peribumi Sarawak. Terdapat pelbagai kebaikan yang mampu diperoleh dengan menjadi seorang bumiputera di sesuatu tempat.

Memetik laporan Harian Metro, kira-kira 8,000 unit kediaman Bumiputera ditawarkan sempena Pameran Harta Tanah Bumiputera (BPEX) 2022 yang bakal diadakan di Mid Valley Exhibition Centre, Kuala Lumpur pada 1 dan 2 Oktober akan datang.

Difahamkan sempena BPEX 2022, 8,000 unit kediaman yang akan ditawarkan bernilai RM 6 billion di mana 3,000 unit dari pemaju di sekitar Kuala Lumpur yang bernilai hampir RM2 bilion, manakala 5,000 unit dari pemaju Selangor bernilai RM4 bilion.

Pengarah Urusan MMC Sdn Bhd, Datuk Norashikin Taib menyatakan bahawa anggaran harga kira-kira RM 250,000 sehingga RM 1.6 juta bagi kediaman sekitar Kuala Lumpur dan Selangor itu.

Jelas beliau, skim menarik bakal diperkenalkan dalam pameran tersebut seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dari Kementerian Kewangan, Skim Rumah Pertamaku (SRP) dari Cagamas, dan Skim PRIMA Rent-To-Own (RTO) di mana golongan Bumiputera berpeluang untuk memiliki rumah di sekitar Lembah Klang.

“Tujuan utama pameran ini adalah untuk meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam bidang hartanah dan menggalakkan Bumiputera khususnya orang Melayu, celik hartanah dan menyahut aspirasi kerajaan untuk meningkatkan pemilikan hartanah Bumiputera sebanyak 30 peratus.

“Kami menyasarkan transaksi jualan RM100 juta pada hari pembukaan pameran dan kira-kira 10,000 pengunjung sepanjang dua hari BPEX 2022 berlangsung.

“Lebih istimewa pembeli Bumiputera dapat membuat pelbagai pilihan hartanah dan menikmati harga promosi kuota Bumiputera dan juga diskaun sehingga 15 peratus.

“Promosi lain berupa subsidi percuma perjanjian jual beli, setem duti dan pelbagai lagi seperti kelengkapan kabinet dapur, baucar perabot dan peralatan elektrikal percuma juga akan disediakan oleh pemaju yang mengambil bahagian,” terang beliau berhubung dengan pameran tersebut.

Dikatakan, terdapat 50 pemaju yang akan mempamerkan unit kediaman masing-masing dan 20 daripadanya dari Kuala Lumpur.

Platinum Victory, PKNS, SP Setia, Malton Berhad, OCR Group Berhad, MCT Berhad, IJM Corporation Berhad, UEM Sunrise, EUPE Corporation Berhad, MKH Berhad, Glomac Group dan TS Law merupakan antara pemaju yang terlibat.

Sekadar info, pameran BPEX 2022 ini bakal diadakan di Dewan 3, Mid Valley Exhibition Centre, Kuala Lumpur pada jam 11 pagi hingga 9 malam.

Continue Reading

Copyright © 2022 RakyatNow Media.