Politik
47 Pertuduhan Zahid Hamidi Ditangguh Ke Tahun Depan, Peguam Utama Beri Kenyataan

Kes jenayah kolar putih ini bukan sahaja meruntuhkan moral seseorang, malah mampu menjatuhkan nama sesebuah negara.
Seperti kes yang berlaku baru-baru ini di mana perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membabitkan dana Yayasan Akalbudi (YAB) dikatakan telah ditangguhkan ke Januari tahun hadapan.
Menerusi laporan Bernama, hal tersebut dilakukan sementara menunggu rayuan berhubung keputusan kenyataan saksi.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah melapangkan tarikh pendengaran tersebut pada hari ini, esok serta 9 dan 10 Nov.
Dikatakan, tarikh pendengaran berkenaan dilapangkan selepas peguam utama Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik memohon untuk menangguhkan perbicaraan tersebut.
21 hari telah ditetapkan oleh hakim untuk perbicaraan selanjutnya iaitu 16-19 Jan, 30-31 Jan, 7-9 Feb, 27-30 Mac, 10-13 April dan 15-18 Mei.
Sebelumnya, Hisyam menyatakan bahawa pihak pembelaan telah memohon untuk menangguhkan perbicaraan tersebut sementara menunggu keputusan rayuan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu terhadap keputusan permohonannya untuk mendapatkan keterangan rekod 15 saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditolak oleh Mahkamah Tinggi.
Menurut Hisyam lagi, rayuan itu dijadual bakal didengar pada 14 Nov di Mahkamah Rayuan nanti.
“Apa sahaja keputusan Mahkamah Rayuan, ini akan membantu pihak pembelaan menentukan saksi -saksi yang kami panggil di hadapan Yang Arif.
“Terdapat beberapa saksi yang ditawarkan oleh pihak pembelaan yang akan kami tumpukan tetapi kami memerlukan panduan daripada Mahkamah Rayuan sama ada kami boleh mendapatkan kenyataan mereka atau sebaliknya, jadi kami dalam dilema. Atas nama keadilan, kami meminta mahkamah menunggu keputusan pada 14 Nov,” jelasnya.
Hisyam juga turut menyatakan bahawa seorang saksi dari Bagan Datuk yang seharusnya memberikan keterangan pada hari ini tidak sihat dan pihak pembelaan tidak mempunyai saksi lain untuk dipanggil buat masa ini.
Difahamkan, setakat ini pihak pembelaan telah memanggil enam saksi termasuk Zahid Hamidi pada perbicaraan kes bela dirinya.
Zahid Hamidi, 69, dilaporkan menghadapi 47 pertuduhan di mana 12 pertuduhan melibatkan kes pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram yang membabitkan puluhan juta ringgit milik YAB.