Semasa
3 Penghuni Cedera, Bumbung Asrama Anak Yatim Runtuh

Kemalangan boleh berlaku di mana-mana sahaja tanpa mengira waktu dan mangsanya.
Malang tidak berbau, itulah nasib penghuni Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang selepas ditimpa runtuhan bumbung di unit tersebut.
Menerusi laporan Kosmo, seorang penghuni perempuan berusia 13 tahun memberikan keterangan mengenai kejadian yang menimpanya dan 29 mangsa yang lain.
“Bumbung jatuh seperti tangga, bermula dari depan dan sambung ke belakang. Tidak lama selepas itu, kami dengar lampu pula meletup dan kipas siling jatuh ke lantai,” terangnya.
Difahamkan, mereka terdiri daripada anak yatim berusia antara tujuh hingga 18 tahun itu dikatakan sedang berehat, mengulang kaji pelajaran dan menikmati makan malam kira-kira pada pukul 9.15 malam itu.
Secara tiba-tiba, mereka berdepan dengan detik cemas apabila struktur bumbung asrama yang dihuni mereka runtuh hampir setengah jam.
Dikatakan sebelum dikejutkan dengan satu dentuman kuat seperti guruh dan kaca pecah, dia dan rakan-rakannya pada waktu itu sedang mengulang kaji pelajaran.
“Ketika itu, kami semua menjerit dan berlari menyorok tepi rak buku. Keadaan bertukar gelap dan habuk masuk ke dalam mata.
“Ketika hendak turun ke bawah, kami dengar suara rakan kami meminta tolong dari dalam bilik. Kami sampai sekarang masih teringat kejadian berlaku. Memang tak boleh lupa,” kata gadis itu yang telah menjadi penghuni di asrama tersebut sejak lima tahun lalu.
Berdasarkan laporan, tiga penghuni asrama berusia lapan, 10 dan 13 mengalami kecederaan pada belakang badan dan kepala ekoran kejadian tersebut.
Mangsa ditemui dalam keadaan tersepit di hujung runtuhan bumbung di bilik asrama berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) menggunakan jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong menyatakan bahawa ketiga-tiga penghuni yang cedera itu hanya dirawat sebagai pesakit luar sebelum dibenarkan pulang.
“Polis menerima laporan kejadian kira-kira pukul 9.45 malam dan hasil pemeriksaan awal mendapati, terdapat 30 anak yatim perempuan tahun satu hingga tingkatan enam di bangunan itu.
“Runtuhan berlaku melibatkan asrama tempat tidur. Semasa kejadian, ada tiga penghuni sedang berehat, manakala yang lain sedang tuisyen dan ada yang ambil makanan.
“Tiga mangsa cedera telah diselamatkan warden dan pelajar-pelajar,” ulas lanjut beliau.